Bursa Malaysia dijangka rancak, dipacu pengukuhan ringgi dan harga komoditi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Bursa Malaysia dijangka rancak, dipacu pengukuhan ringgi dan harga komoditi

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Pengukuhan ringgit dan harga komoditi serta peningkatan rizab forex selain peningkatan pertumbuhan ekonomi negara pada suku keempat dijangka merancakkan lagi Bursa Malaysia, minggu depan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, aliran meningkat dijangkakan dalam pasaran saham tempatan di sebalik ketidakpastian dengan hasil rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Di sebalik kebimbangan geopolitik global, pasaran tempatan meneruskan pergerakan aliran meningkat bagi tempoh hampir dua bulan untuk mencecah paras ketahanan segera melebihi 1,700 mata,” katanya memetik laporan BERNAMA.


Beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada pergerakan pasaran minggu depan adalah pengeluaran data ekonomi Singapura, China, Jepun dan Taiwan.

Nazri Khan berkata, pasaran juga akan dipengaruhi hasil perbincangan perdagangan AS-China.

“Perbincangan antara Naib Perdana Menteri China, Liu He dan wakil perdagangan AS, Robert Lighthizer yang menjadi punca kalangan pelabur mengambil sikap enggan mengambil risiko,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga menjadi antara pemangkin penting berikutan mencatatkan peningkatan di luar jangkaan, didorong sektor perlombongan dan kuari yang kembali cergas, ditambah pertumbuhan lebih tinggi sektor perkhidmatan dan pembuatan walaupun pada tahap perlahan.

“KDNK Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus pada suku terakhir 2018 berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya, naik sedikit daripada jangkaan dalam negara dan pasaran masing-masing pada 4.5 peratus dan 4.6 peratus,” katanya.

Dari segi teknikal, beliau berkata kenaikan selanjutnya melebihi 1,700 mata di FBM KLCI akan menandakan sentimen pasaran yang positif.

“Dengan semua itu, kami menjangkakan petunjuk pasaran FBM KLCI akan meningkat dan memasuki pergerakan jangka pendek yang kukuh,” katanya.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next