NASIONAL

Cakna gejala kanser, UICC angkat tema ‘I Am and I Will’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 FEB: Penularan wabak kanser boleh dielakkan dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti kerana kanser kini adalah penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bersempena dengan sambutan Hari Kanser Sedunia disambut 4 Februari setiap tahun, The Union for International Cancer Control (UICC) telah memperkenalkan satu tema baharu yang bakal digunakan untuk tempoh tiga tahun (2019 hingga 2021) iaitu ‘I Am and I Will’ atau ‘Saya Akan dan Saya Boleh’.

“Tema ini menyaran dan memperkasakan semua individu untuk menyuarakan komitmen masing-masing dalam mengambil tindakan untuk memerangi wabak kanser.

“Tiga jenis kanser yang tertinggi dalam kalangan lelaki di Malaysia adalah kolorektal (16.4%), paru-paru (15.8%) dan nasopharynx (8.1%), manakala di kalangan wanita adalah payudara (32.1%), kolorektal (10.7%) dan serviks (7.7%).

“Beban penyakit kanser dijangka akan meningkat disebabkan oleh prevalen faktor risiko penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) yang tinggi dan populasi menua (aging population) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pengesanan kanser di peringkat awal penting kerana dianggarkan 60 peratus kanser di Malaysia dikesan pada tahap yang lewat (Tahap III dan IV) susulan kurangnya kesedaran melakukan ujian saringan pengesanan lebih awal.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan KKM di seluruh negara manakala saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasopharynx boleh didapati di hospital KKM.

“Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan mula dilaksanakan pada Mac ini menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Manakala Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam telah diperkenalkan untuk membantu Kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan untuk 36 jenis penyakit kritikal, yang turut merangkumi kanser.

“Marilah kita bersama-sama mengambil tindakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan menjalani ujian saringan, dan mengenali tanda dan gejala awal kanser. Kita juga perlu bersama-sama memerangi mitos, infomasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan,” katanya.

 


Pengarang :