GLOBALNASIONAL

California dilanda banjir terburuk

LOS ANGELES, 28 FEB: Bandar Guerneville di California Utara berdepan banjir buruk dalam tempoh 20 tahun, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan ribuan penduduk berpindah atau berisiko terperangkap beberapa hari.

Air dilaporkan naik sehingga ke bumbung rumah dan menenggelamkan kereta apabila paras Sungai Russia melimpahi tebing ekoran hujan lebat.

Keadaan itu sekali gus memaksa pihak berkuasa di Daerah Sonoma, kira-kira 110 kilometer ke utara San Francisco memindahkan 3,600 penduduk.

“Saya sudah menetap di sini selama 30 tahun. Saya tidak pernah lihat hujan sebegini lebat,” kata pengarah pemasaran hotel Farmhouse Inn, Brian Gipson, lapor Reuters.

Hotel berkenaan turut memindahkan tetamu selepas air menenggelamkan tempat letak kenderaan.

Bandar raya Santa Rosa menerima 11.8 sentimeter hujan, mengatasi rekod lama empat sentimeter, menurut data Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Banjir itu dijangka menjadi paling buruk sejak 1995, apabila paras Sungai Russia naik kepada 14.6 meter.


Pengarang :