SELANGOR

Cara pemerintahan PAKATAN kukuhkan kewangan negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SEMENYIH, 22 FEB: Langkah penjimatan dan pengurusan cekap diamalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor menyumbang kepada kejayaan mengumpul kedudukan kewangan yang baik sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Majli Pimpinan PAKATAN Selangor, Amirudin Shari berkata, menerusi sistem tander terbuka diamalkan sejak 2008 sehingga tahun lalu, Selangor berjaya menjimatkan kira-kira RM990 juta.

“Kita hasilkan wang melalui penjimatan, tidak berlaku penyelewengan dan pemerintahan yang cekap.

“Saya bagi contoh, melalui sistem tander terbuka yang kita amalkan, kita berjaya jimatkan lebih kurang RM68 juta bagi tahun lalu.

“Di Selangor sejak 10 tahun lalu di bawah pemerintahan KEADILAN dan rakan-rakan, secara keseluruhan kita sudah jimat kira-kira RM990 juta,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Isu-Isu Semasa di Kampung Batu 26 Beranang, Semenyih.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, tempoh pentadbiran puluhan tahun di bawah Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan berbanding lapan bulan bersama PAKATAN tidak sepatutnya dijadikan perbandingan kerana masih terlalu awal untuk diperdebatkan.

Katanya, Selangor dan Pulau Pinang adalah modul pentadbiran PAKATAN yang sepatutnya dibandingkan ketika zaman BN kerana mereka berjaya mencipta kejayaan dengan menawarkan program kebajikan rakyat lebih baik.

Dalam ucapannya, beliau turut menasihatkan penyokong untuk mengekalkan konsisten dan momentum PAKATAN menerusi kemenangan di Semenyih.


Pengarang :