PBTSELANGOR

Catat kes tinggi, MBPJ wujud SEDAR basmi denggi

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 3 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merekodkan kenaikan jumlah kes denggi sebanyak 214 peratus, iaitu 369 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Peningkatan itu dicatatkan bermula dari 1 hingga 24 Januari sementara hanya 126 kes dicatatkan pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pihaknya juga sudah mengenalpasti 18 lokasi ‘hotspot’ denggi setakat ini.

Katanya, antaranya ialah Prima Damansara di PJU10, Flat Pelangi Damansara PJU 6, Flat Desa Mentari PJS5, Flat Desa Ria PJS5, Flat Desa Mentari PJS 6 dan Mentari Court PJS8.

Lokasi lain termasuk Apartment Medan Cahaya, Taman Medan PJS 2C, Flat Desa Mentari PJS 2D, Apartment Suria PJS3, Flat Desa Perangsang PJS 3 dan Taman Medan Baru.

“Bagi mencegah kes denggi ini, MBPJ telahpun mewujudkan SEDAR (Searh and Destroy) sejak 2014 lagi dan dengan adanya kumpulan ini, ia membantu membasmi masalah pembiakan nyamuk dengan bantuan komuniti.

“Setakat ini kita telahpun mempunyai 238 kumpulan SEDAR dan pada tahun ini sahaja sudah ada lima kumpulan baharu ditubuhkan termasuk di Jalan Medan 23 dan PJU5,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Penuh Bulanan MBPJ, di sini.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatatkan kes denggi sebanyak 561 kes daripada November tahun lalu hingga Januari ini.

Sementara kes denggi di Hulu Langat pula dilaporkan meningkat dalam tempoh dua minggu pertama.

Ia sekali gus menjadikan Hulu Langat di tempat ketiga dengan kes denggi tertinggi selepas Petaling dan Klang.


Pengarang :