SELANGOR

Central Spectrum sumbang zakat kepada sekolah dan masjid

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 23 FEB: Sebanyak RM215,000 diperuntukkan Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), bagi sumbangan zakat kepada sekolah dan masjid, di sekitar Pulau Indah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Razif Abdul Wahab berkata, pihaknya sentiasa memberikan keutamaan pengagihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin serta pembangunan pelajar Islam, di sekitar Pulau Indah.

Katanya, melalui sumbangan itu, CSSB berharap supaya institusi agama dapat dinaik taraf, sekali gus menambahbaik modal insan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Pembahagian zakat ini adalah sebahagian daripada 3/8 sumbangan zakat CSSB kepada Lembaga Zakat Selangor, bagi tahun berakhir 2016.

“Selain diadakan bersempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), kami berharap melalui cara sebegini syarikat kami memperolehi keberkatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Zakat kepada masjid dan sekolah serta penyampaian sijil kursus ‘Certified Halal Executive and Halal Technical Competent Person’, di Galeri Pameran Selangor Bio Bay, semalam.

Antara masjid yang menerima sumbangan RM10,000 ialah Masjid Sultan Abdul Aziz; Masjid Ar-Raudah, Sungai Kembong; Masjid Ar-Rahman, Sungai Pinang dan Masjid Al-Qayyum, Bandar Armada Putra.

Sementara sekolah yang turut menerima sumbangan RM10,000 setiap satu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah; Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Indah; SK Pulau Indah 2 Armada Putra; Sekolah Rendah Agama Pulau Indah dan Madrasah Tahfiz Ar-Raudhah, Pulau Indah.

Pada masa sama, katanya, seramai 20 peserta dianugerahkan sijil melalui Program ‘Certified Halal Executive and Halal Technical Competent Person’, sempena program Halal International Selangor.

Katanya, kesemua peserta menjalani latihan selama 15 hari, pada Disember tahun lalu dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa.

“Graduan yang terpilih bukan sahaja mempunyai latar belakang syariah dan usuluddin tetapi juga daripada bidang kejuruteraan aeroangkasa, pelancongan, hospitaliti dan perbankan Islam.

“Daripada 20 peserta ini, saya dimaklumkan hampir 70 peratus sudah mendapat pekerjaan.

“Semoga program sebegini dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja dan pakar bagi merancakkan lagi industri halal di Malaysia dan antarabangsa,” katanya.


Pengarang :