SELANGOR

Chikungunya: Penduduk diminta kurangkan aktiviti waktu Maghrib

OLEH NADIAH ZAMLUS

TANJUNG SEPAT, 11 FEB: Penduduk di sekitar Tanjung Sepat dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar pada waktu Maghrib bagi mengelakkan daripada terkena virus chikungunya.

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berkata, ia berikutan adanya kes penduduk terkena virus berkenaan setelah minum bersama pada waktu petang.

“Saya menerima laporan bahawa kelima-lima mangsa berkenaan dipercayai minum bersama pada waktu petang di sebuah kedai sebelum pulang ke rumah masing-masing, dan mengejutkan apabila semuanya terkena virus yang sama.

“Selain pada waktu Maghrib, nyamuk juga aktif pada waktu Subuh, jadi saya nasihatkan pada dua waktu berkenaan elakkan daripada berada di luar rumah terlalu lama,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Borhan berkata, beliau berharap supaya masyarakat tidak bimbang walaupun Tanjung Sepat sudahpun mencatatkan 23 kes chikungunya.

“Kementerian Kesihatan serta penguatkuasa kesihatan negeri sudah sedia maklum perkara ini dan kita sudahpun menjalankan pelbagai kempen kesedaran kepada penduduk setempat.

“Penduduk diingatkan supaya menggunakan langkah pencegahan termasuk membuat semburan nyamuk di dalam rumah sebelum menjelang waktu malam, dan jangan lupa mengenakan baju dan seluar panjang bagi mengelakkan terkena gigitan nyamuk,” katanya.


Pengarang :