BERITA UTAMASELANGOR

CSR MBI tumpu 10 teras bantu rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 FEB: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor akan meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan peruntukan RM49.7 juta, pada 2019 sampai ke kumpulan sasaran.

Ketua Pegawai CSRnya, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, program bagi tujuan itu akan dilaksanakan seperti tahun sebelumnya selaras gerak kerja pejabat Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.

“Kita menumpukan kepada 10 teras program antaranya pendidikan, masjid dan surau, bantuan keperluan asas dan sara hidup, perayaan dan keagamaan serta pembangunan dan kecemerlangan sukan.

“Selain itu, program kita turut membabitkan perumahan, agensi kerajaan dan anak syarikat Kerajaan Negeri, sumbangan penyakit kronik, program pembangunan masyarakat serta program khas.

“Semua program ini akan kita lakukan selaras peningkatan peruntukan hampir RM50 juta berbanding RM31 juta tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, setakat ini hampir RM2 juta sudah dibelanjakan membabitkan program pendidikan, bantuan masjid serta surau yang disalurkan semasa program turun padang Jelajah Maju Bersama.

Katanya, beberapa program lawatan membabitkan pelajar Selangor di luar negara turut dirancang bagi membolehkan mereka menerima manfaat daripada pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri.


Pengarang :