EKONOMISELANGOR

DAISO buka pusat edaran serantau di Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 FEB: PKT every24 Logistics Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian perkhidmatan bersama Daiso Industries Co Ltd (DAISO) bagi mengendalikan pusat pengedaran serantau (RDC) di Port Klang, pada suku kedua tahun ini.

Kos pelaburan sebanyak RM250 juta itu dijangka bakal mewujudkan 500 peluang pekerjaan baharu.

DAISO melalui kenyataan bersama PKT berkata, pembinaan RDC di Selangor itu adalah di antara strategi pembesaran perniagaan sekali gus membolehkan penyelarasan operasi logistik DAISO di kawasan Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Presiden DAISO, Seiji Yano berkata, pihaknya yakin PKT akan menjadi rakan kongsi logistik berharga untuk DAISO menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada cawangan dan pelanggan di seluruh Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Sementara itu Pengerusi Kumpulan PKT Logistics, Datuk Wira Jalilah Baba berkata, pihaknya akan menguruskan kontena barangan DAISO yang mencecah ratusan kontena dalam tempoh sebulan.

Ia termasuk penyediaan pengangkutan, penghantaran barang dan pergudangan untuk pengangkutan kargo.

“Kami berbangga kerana DAISO memberi keyakinan terhadap Malaysia, namun yang paling penting ialah keyakinan syarikat itu terhadap PKT untuk memberikan perkhidmatan logistik yang berkualiti kepada cawangan mereka,” katanya.

PKT every24 Logistics ialah syarikat usahasama di antara PKT Logistics Group Sdn Bhd dan Daisei every24 Co. Ltd.

Turut hadir ke majlis menandatangi perjanjian itu ialah EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

 


Pengarang :