SELANGOR

DAP komited bantu calon PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Parti Tindakan Demokratik (DAP) komited membantu calon Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ketika ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, komitmen itu termasuk ke kawasan majoriti Melayu sekiranya calon PAKATAN mahu mereka berbuat demikian.

“Tiada masalah. Kalau perlu ke kawasan Melayu pun kita boleh. Kita akan bantu seberapa yang boleh.

“DAP akan masuk apa-apa kawasan yang diminta oleh pihak calon kerana kita bekerjasama dalam PAKATAN,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, PRK itu penting untuk melihat sokongan terkini rakyat terhadap kepimpinan PAKATAN.

Beliau turut berharap rakyat akan terus memberi peluang kepada PAKATAN untuk menjalankan tugas.

“Ini termasuk untuk kami akan melaksanakan janji dalam manifesto PAKATAN, dan kami memerlukan sedikit masa ekoran kewangan tidak menentu akibat skandal itu,” katanya.


Pengarang :