Foto SELANGORKINI
NASIONAL

Dasar Komuniti Negara dilancar, tingkat kehidupan masyarakat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 17 FEB: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Dasar Komuniti Negara (DKN) bagi membangunkan aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan pengukuhan jati diri yang padu dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, dasar yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu digubal berikutan pelbagai masalah yang timbul di kawasan perumahan strata disebabkan sikap masyarakat sendiri.

“KPKT telah mendengar rintihan rakyat dan merasai denyut nadi mereka, terutamanya bagi golongan B40 yang berhadapan dengan masalah pemilikan rumah, yang mana Dasar Perumahan Negara & Dasar Perumahan Mampu Milik telahpun dibentuk bagi merawat permasalahan ini.

“Namun begitu, setiap pembangunan fizikal adalah sia-sia sekiranya tidak dimanfaatkan secara betul dan penjagaan sewajarnya terhadap fasiliti yang disediakan dan pembangunan sahsiah masyarakat umum tidak diberi penekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran DKN di Padang Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya, Puchong Indah di sini, hari ini.

Zuraida berkata, dasar ini akan memfokuskan isu seperti kebersihan, gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, kerosakan harta awam dan harta bersama, kesukaran membayar yuran penyelenggaraan atau sewa, kadar jenayah yang kian meningkat serta penghuni yang kurang prihatin terhadap jiran tetangga.

Katanya, Dasar Komuniti Negara yang diluluskan Jemaah Menteri pada 23 November 2018 itu merupakan salah satu inisiatif KPKT memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan cara holistik.

“Antara penggerak utama DKN adalah dengan penubuhan Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti di semua PPR di seluruh negara secara berperingkat, yang mana telah dimulakan melalui projek rintis di PPR Lembah Subang 2, empat bulan yang lepas.

“Melalui perancangan ini, 19 daripada 133 Projek Perumahan Rakyat di seluruh negara akan mempunyai Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti mereka sendiri di mana hingga kini, Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti Lembah Subang 2 telah melaksanakan 32 program melibatkan pihak kerajaan, sektor korporat, institusi pendidikan dan persatuan,” katanya lagi.


Pengarang :