SUKANKINI

Demi Olimpik 2020, Yiwei berlatih ketika Tahun Baharu Cina

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 FEB: Demi memburu slot membawa cabaran negara ke temasya Sukan Olimpik 2020, penerjun Selangor, Chew Yiwei tidak menunggu lama untuk kembali berlatih selepas bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, walaupun hanya bercuti dua hari sahaja tetapi perayaan Tahun Baru Cina kali ini lebih istimewa kerana kurang tekanan, berbanding tahun sebelumnya.

“Ini kerana tahun sebelumnya tarikh kejohanan yang disertai terlalu dekat dengan Tahun Baharu Cina.

“(Apabila dapat bercuti awal), keadaan ini sudah tentu menggembirkan saya kerana berpeluang pulang ke rumah keluarga di Meru, Klang untuk bertemu keluarga, saudara mara, rakan dan dapat angpau,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas berkenaan persiapan menyambut Tahun Baharu Cina kali ini, pemenang pingat emas Sukan Sea 2015 acara terjun 10 meter platform seirama itu berkata, beliau hanya sempat membeli beberapa pasang pakaian sahaja ekoran jadual latihan yang agak ketat.

Sementara itu, menyentuh peluangnya dalam perebutan slot mewakili negara di Sukan Olimpik 2020, Yiwei berkata, beliau berusaha keras bagi membuktikan kemampuannya menggalas cabaran negara di gelanggang akuatik Sukan Olimpik nanti.

Yiwei sebelum ini turut memenangi pingat gangsa acara 10 meter platform seirama lelaki di Sukan Asia Incheon 2014, tiga meter papan anjal di Sukan Asia Jakarta – Palembang 2018 dan tiga meter papan anjal di Sukan Sea Naypyiday 2013.


Pengarang :