NASIONAL

Dr M: RCI akan kaji dakwaan salah laku hakim

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kerajaan akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dakwaan salah laku oleh hakim tertentu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, bagaimanapun termanya belum lagi diputuskan.

“Terpulang kepada RCI itu kelak untuk menyiasat dakwaan dibuat oleh hakim berkenaan. Kita akan menubuhkan RCI, termanya akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta memberi komen terhadap beberapa gesaan supaya kerajaan menubuhkan RCI ekoran pendedahan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavitnya setebal 65 halaman pada 14 Februari yang mendakwa berlaku penipuan oleh hakim kanan tertentu dengan peguam persendirian untuk menipu wang kerajaan menerusi kontrak dibatalkan.

Hakim itu juga mendakwa terdapat campurtangan hakim dalam keputusan rayuan kes hasutan mendiang Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Dr Mahathir tidak kelihatan tersinggung mengenai dakwaan bahawa akan ada usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri apabila Dewan Rakyat mula bersidang 11 Mac ini.

Jika betul ia dibuat, beliau akan melihat sama ada PAS akan menyokongnya atau tidak.

“Saya tunggu kalau ada undi tak percaya, saya tengok PAS sokong saya atau tidak,” katanya.

Isnin lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan telah mengatakan sokongan parti itu terhadap kepimpinan Dr Mahathir jika berlaku pengkhianatan parti komponen Pakatan Harapan terhadap Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut memberitahu media bahawa lawatan rasmi beliau ke China April ini adalah untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai projek di bawah inisiatif ‘Belt and Road’.


Pengarang :