EKONOMINASIONAL

EAC fokus penyelesaian hidup rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 12 FEB: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) bakal menumpukan kepada aspek pelaksanaan khusus dalam mencari penyelesaian positif terhadap kehidupan rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beberapa langkah akan diambil segera kerana terdapat perkara yang dilihat sebagai keperluan mendesak.

“Orientasi majlis ini adalah tindakan kerana kita sudah ada polisi jangka panjang dan sederhana tetapi paling penting soal pelaksanaan yang dapat menghasilkan kesan positif.

“Antara matlamat utamanya untuk menangani masalah rakyat seperti kos sara hidup semakin tinggi dan harga barang semakin mahal.

“Majlis ini akan melihat pendekatan segera dan jangka sederhana yang boleh diambil,” katanya kepada media selepas pelancaran AMAL By Malaysia Airlines di Kompleks Kejuruteraan Syarikat Penerbangan Malaysia, di sini.

Katanya, EAC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengadakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau turut menafikan penubuhan EAC ekoran masalah prestasi menteri.

“Tidak benar, bukan soal satu menteri. Kita dalam Pakatan Harapan bekerja sebagai satu pasukan, malahan keputusan yang dibuat jemaah menteri juga secara kolektif,” katanya.

EAC turut dianggotai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking serta 12 anggota lain.

Pelantikan kesemua ahli EAC berkuat kuasa serta dan sekateriat Majlis adalah Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.


Pengarang :