GLOBAL

Ekonomi UK paling lembap dalam enam tahun

LONDON, 12 FEB: Ekonomi Britain dilaporkan bergerak perlahan pada lewat 2018 ekoran kebimbangan Brexit yang memberi kesan kepada pelaburan, manakala kelembapan ekonomi global menjejaskan perdagangan.

Ahli ekonomi di Institute of Directors, Tej Parikh berkata, kadar pertumbuhan ekonomi jatuh kepada kadar suku tahunan 0.2 peratus antara Oktober dan Disember daripada 0.6 peratus, pada suku sebelumnya.

Katanya, ia sejajar ramalan dalam tinjauan Reuters, manakala pengeluaran pada Disember saja mencatat kejatuhan paling besar sejak 2016.

“Ekonomi United Kingdom (UK) kehilangan keceriaan musim panas pada bulan terakhir 2018 dan terdapat tanda angin sejuk akan tiba.

“Pound sterling juga jatuh satu pertiga kepada bawah AS$1.29. Bagi 2018 secara keseluruhan, pertumbuhan menurun ke tahap terendah sejak 2012 pada 1.4 peratus, turun dari 1.8 peratus pada 2017,” katanya.

Eksport terkesan daripada kelemahan global dan pengguna serta perniagaan semakin bimbang berhubung kekurangan rancangan ketika Britain akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), pada 29 Mac ini.

Perdana Menteri, Theresa May juga gagal memenangi sokongan parlimen bagi rancangan yang dipersetujui beliau dengan Brussels.

Ekonomi utama di seluruh dunia juga semakin perlahan pada akhir 2018, sebahagiannya ekoran ketegangan perdagangan AS dan China, sementara Brexit adalah cabaran tambahan untuk Britain.

Minggu lalu, Bank of England mengurangkan unjuran pertumbuhan tahun ini sebanyak 0.5 mata peratusan kepada 1.2 peratus, sekali gus bakal menjadi tahun paling lemah sejak kemelesetan 2009.

Data menunjukkan perdagangan bersih susut lebih 0.1 mata peratusan daripada kadar pertumbuhan suku keempat.

Pelaburan perniagaan jatuh mengalami kerosakan yang sama.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin perlahan dalam tiga bulan terakhir tahun itu dengan pembuatan kereta dan produk keluli melihat penyusutan ketara dan pembinaan juga merosot,” demikian menurut ahli statistik pejabat Perangkaan Negara, Rob Kent-Smith.

Pada Disember saja, ekonomi UK menguncup 0.4 peratus, kejatuhan terbesar sejak Mac 2016.

*Sumber: BHOnline/Reuters


Pengarang :