BERITA UTAMASELANGOR

Eksplorasi Puncak Kinabalu Belia Selangor berjaya

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUNDASANG, 21 FEB: Selepas lebih 18 jam bergelut dengan cuaca dingin yang mencecah sehingga tiga darjah celcius, akhirnya bendera Selangor berjaya dikibarkan di puncak Gunung Kinabalu.

Bertambah manis lagi apabila eksplorasi itu diketuai EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Sebelum itu, 30 peserta yang terdiri daripada kalangan generasi muda Selangor memulakan pendakian pada jam 9.30 pagi, Selasa lalu di Timpohon Gate.

Kesemua peserta tiba di Laban Rata secara berperingkat antara jam 3.30 petang hingga 8.00 malam untuk berehat dan makan malam.

Tepat jam 2.30 pagi mereka meninggalkan Rumah Rehat Laban Rata untuk menuju ke puncak Gunung Kinabalu.

SelangorKini diberitahu pendakian di Sayat-Sayat adalah antara fasa paling mencabar berikutan terpaksa mendaki batu curam dalam keadaan gelap selain berhadapan dengan simtom mabuk gunung dan tekanan mental.

Keadaan menjadi lebih mencabar lagi apabila beberapa pendaki mula merasai kebas di bahagian tangan dan anggota badan lain berikutan cuaca dingin dan tiupan angin yang agak kuat pada masa itu.

Keadaan ini menyebabkan pendaki tidak dapat berpaut dengan cukup kuat ketika mendaki.

Pendakian ke puncak melalui Sayat-Sayat mengambil masa kira-kira empat hingga enam jam sebelum anggota eksplorasi tiba ke puncak pada jam 6.30 hingga 7.30 pagi Rabu.

Kira-kira jam 8.00 pagi, kesemua anggota eksplorasi memulakan perjalanan turun menuju ke Laban Rata.

Pada jam 11.00 pagi pendaki tiba di Rumah Rehat Laban Rata untuk berehat dan mengisi semula bekalan sebelum bergerak semula ke kaki gunung pada jam 3.00 petang.

Akhirnya selepas lebih 40 jam mengharungi cabaran menjerihkan, kesemua peserta eksplorasi tiba di Timpohon Gate pada jam 10.30 malam.

Ketibaan para pendaki di kaki gunung Kinabalu disambut wakil Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.


Pengarang :