SELANGOR

Ekspo kopi dan teh antarabangsa tarikan SIBS 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 FEB: Produk kopi keluaran negara amat dikenali di kalangan penduduk China, kata EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Katanya, disebabkan itu Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 akan memperkenalkan Ekspo Kopi dan Teh Antarabangsa Malaysia.

“Ekspo selama empat hari ini akan berlangsung ketika Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE 2019) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media SIBS 2019 di Hotel Concorde, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris; Pengruus Besar Majlis Teknologi Maklumat dan Edagang Selangor (SITEC), Loo Chuan Boon; Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Muhammad Yasir Yahya dan Pengarah SIBS, Ahmad Khairo Othman.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, ekspo itu turut mendapat kerjasama Persatuan Pedagang Teh Malaysia sekali gus akan mengumpulkan pemain industrinya.

Katanya, semua pemain industri terbabit berpeluang mempromosikan produk keluaran mereka bagi pasaran peringkat antarabangsa mahupun tempatan.

“Paling membanggakan apabila daun teh halal yang dipasarkan keluar negara juga mendapat pengiktirafan sijil halal dan ini memperlihatkan perkembangan industri terbabit.

“Jadi kita mengau-alukan peminat kopi dan teh untuk berkunjung ke acara ini bagi melihat kepelbagaian produk teh dan kopi, jangan lepaskan peluang ke ekspo yang dijangka bermula bermula dari 10 hingga 13 Oktober depan,” katanya.

 


Pengarang :