BERITA UTAMASELANGOR

Empat penjuru di PRK DUN Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Pilihan Raya Kecil (PRK) N 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PAKATAN), Barisan Nasional (BN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas.

PAKATAN mempertaruhkan jurutera muda, Muhammad Aiman Zainali, 30, sebagai calon manakala BN mempertaruhkan pemimpin tempatan, Pengerusi Tetap UMNO cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi, 58.

Selain itu, PSM pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul, 25 sebagai calon.

Manakala, Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ bertanding atas tiket Bebas.

 

Pengesahan calon layak bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

“Muhammad Aiman dari PAKATAN mengemukakan borang pencalonannya pada jam 9.03 pagi.

“Manakala Zakaria dari BN selesai menghantar borang pencalonan kira-kira jam 9.05 pagi.

“Diikuti dengan, PSM Nik Aziz Afiq pada jam 9.10 pagi dan Kuan Chee Heng, pada jam 9.10 pagi,” katanya.

Beliau berkata, selepas disemak dan berpuas hati, tiada kertas yang ditolak pada pencalonan kali ini.

Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PAKATAN, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Allahyarham Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili PSM.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.


Pengarang :