GLOBAL

Enam terbunuh kereta api ekspres India tergelincir

NEW DELHI, 3 FEB: Enam penumpang terbunuh dan lebih 20 yang lain cedera apabila sebuah kereta api ekspres tergelincir pada awal pagi di kawasan berhampiran timur Bihar, dekat sini.

Laporan AFP memaklumkan, pihak berkuasa tempatan berkata, kereta api ekspres itu dalam perjalanan dari Delhi ke Seemanchal dengan kebanyakan penumpang tertidur ketika kejadian itu berlaku.

Kereta api itu yang bergerak dengan kelajuan 55 kilometer sejam, dikatakan tergelincir berhampiran stesen Shadai Buzurg iaitu kira-kira 30 kilometer ke timur ibu negeri Patna, pada lebih kurang jam 4 pagi waktu tempatan.

Jurucakap Kereta Api India, Rajest Kumar berkata, setakat ini insiden terbabit menyebabkan enam penumpang terbunuh dan lebih 20 mangsa tercedera.

Pihak berkuasa juga memaklumkan, usaha mencari penumpang lain yang terperangkap sedang dijalankan pasukan penyelamat dan dibantu anjing pengesan.

Kereta api India dalam kenyataan turut berkata, hasil siasatan mendapati keretakan rel menjadi punca kemalangan berkenaan.

Berikutan itu, syarikat terbabit berjanji akan menjalankan siasatan terperinci selepas beberapa hari kerajaan India mengesahkan keselamatan perkhidmatan rel sudah menjalani proses naik taraf.

Sementara itu, kenyataan dikeluarkan kerajaan pula memaklumkan, bayaran pampasan 500,000 rupee (RM28,660) akan diberikan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.


Pengarang :