Selangorkini
GLOBAL

Enam terkorban akibat puting beliung di Havana

HAVANA, 4 FEB: Angka korban akibat puting beliung dahsyat yang memusnahkan ibu kota Cuba, Havana, minggu lalu telah mencecah enam orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai kesihatan pada Ahad.

Jumlah kematian meningkat selepas dua lagi mangsa yang cedera parah dalam insiden itu meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami, kata Menteri Kesihatan Jose Angel Portal pada satu mesyuarat kabinet dipengerusikan Presiden Miguel Diaz-Canel.

Semasa mesyuarat itu, pegawai telah menyusuli usaha pemulihan yang sedang dilakukan.

Pihak berkuasa berkata, sejumlah 1,238 kediaman mengalami kerosakan termasuk 347 yang musnah sepenuhnya.

Puting beliung gred empat pada skala Fujita yang mempunyai intensiti kelajuan angin maksimum lima itu, adalah yang terburuk di Cuba dalam tempoh 80 tahun dan telah memusnahkan kediaman, memutuskan bekalan tenaga serta menterbalikkan kereta, selain mengakibatkan hampir 200 orang cedera.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :