SUKANKINI

‘Engagement’ tingkat pembangunan sukan Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 FEB: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor mengambil inisiatif menganjurkan Sesi Engagement Pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bagi memantapkan pengurusan penganjuran acara dan pembangunan sukan, di Selangor, baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah itu disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, selain disertai kira-kira 350 peserta.

JBS dalam kenyataan berkata, objektif utama sesi itu adalah bagi memberi penerangan berkaitan pindaan yang dibuat di bawah Akta 576 kepada agensi kerajaan dan persatuan sukan peringkat negeri.

“Ia bertujuan menyampaikan proses dan gerak kerja dalam pelaksanaan akta supaya dapat melicinkan proses yang berkenaan, selain meningkatkan persefahaman serta kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan juga agensi kerajaan di peringkat negeri.

“Selain itu, ia juga bagi mendapatkan maklum balas penambahbaikan yang boleh dimasukkan dalam peraturan berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sesi berkenaan turut dilaksanakan secara bersama antara Kerajaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Persatuan Sukan serta Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri (PESRON) Selangor.

JBS memaklumkan, Kerajaan Negeri mengalu-alukan sesi sedemikian memandangkan Selangor sememangnya terkenal dengan masyarakatnya yang aktif bersukan dan kekerapan menganjurkan acara sukan.

Katanya, data persatuan dan kelab sukan berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan juga menunjukkan Selangor adalah negeri tertinggi yang mendaftar iaitu sebanyak 1,618 persatuan di peringkat daerah negeri serta daerah.

“Sebarang bentuk pandangan dalam sesi ini boleh membantu KBS supaya peraturan yang digubal dapat dikuat kuasakan, pada 2019.

“Cadangan dan pandangan daripada ‘stakeholders’ di peringkat Selangor akan direkodkan dan diambil bagi memperkemaskan peraturan ini sebagai persediaan untuk diguna pakai pada 2019,” katanya.

Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) adalah satu akta yang diwujudkan untuk menggalakkan dan memudahkan pembangunan serta pentadbiran sukan di Malaysia.

Mula dikuat kuasakan pada 1 Januari 1998 di semenanjung Malaysia dan 1 Oktober 2004 di Sabah serta Sarawak, akta terbabit mengandungi 43 buah seksyen yang terbahagi kepada tujuh bahagian.


Pengarang :