GLOBALSUKANKINI

EPL: Gol Son lonjak Spurs

LONDON, 3 FEB: Son Heung-min menjaringkan gol tunggal bagi membantu Tottenham Hotspur menewaskan Newcastle United 1 – 0 seterusnya naik ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris.

Dalam perlawanan di Stadium Wembley, Spurs memperoleh gol menerusi penyerang Korea Selatan itu pada minit ke-83 menerusi satu percubaan dengan tendangan deras melepasi penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.

Kemenangan dicipta itu meletakkan pasukan bimbingan Mauricio Pochettino mengatasi Manchester City yang akan turun menentang Arsenal selepas ini dengan satu mata dan empat mata di belakang pendahulu, Liverpool serta mengukuhkan kedudukan di empat teratas.

Spurs menguasai hampir 70 peratus permainan tetapi ditentang sengit Newcastle yang bangkit penuh semangat selepas kemenangan 2-1 ke atas City yang meletakkan mereka lima mata dari zon penyingkiran.

Dubravka beraksi cemerlang dan berjaya mematahkan beberapa percubaan dilakukan Christian Eriksen dan Fernando Llorente namun akhirnya gagal menerusi percubaan Heung-min yang meledak gol ke-14 musim ini.

Pochettino berkata, ia kemenangan penting untuk Spurs dan kini berada pada kedudukan yang baik dalam liga.

“Kita tidak perlu berada dalam kedudukan seperti hari ini untuk meyakinkan diri kita mengenai kapasiti atau potensi kita. Kami percaya kepada diri kita sendiri,” katanya, dipetik AFP.

 


Pengarang :