SUKANKINI

EXCO tawar perkongsian bina lebih banyak stadium mini

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 FEB: Stadium mini di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor mampu dibina lebih banyak sekiranya perkongsian bijak yang ditawarkan Kerajaan Negeri disambut Ahli Dewan Negeri (ADN).

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri sedia membiayai separuh daripada kos projek membina stadium mini.

“Saya ingin memohon kerjasama dengan Yang Berhormat (YB) yang ada di depan saya ini, memang Kerajaan Negeri memperuntukan RM40,000 setiap tahun bagi setiap kawasan DUN.

“RM40,000 itu tidak banyak yang kita boleh buat, tetapi duit itu mampu membina sebuah stadium mini yang cantik dan bersesuaian sekirannya YB keluarkan sedikit duit peruntukan YB untuk bersama Kerajaan Negeri membangunkan kemudahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi dan Penyerahan Watikah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, beliau yakin perkongsian dicadangkannya itu mampu membiayai kos membina sebuah stadium dengan kemudahan asas seperti astaka dan padang yang baik.

Katanya, sekiranya usaha konsisten diteruskan, setiap DUN di Selangor masing-masing mempunyai beberapa buah stadium mini.

“Fokus saya setahun dua ini untuk meningkatkan taraf kemudahan sukan yang ada di tempat saudara.

“Sekiranya ada tapak sesuai untuk belia bersukan, boleh beritahu MSN atau terus kepada saya, kita boleh bincang elok-elok bagaimana untuk bina,” katanya lagi.


Pengarang :