GLOBAL

Facebook mungkin disiasat dua kes salah guna data

NEW YORK, 1 FEB: Facebook Inc menghadapi kemungkinan disiasat sekurang-kurangnya dua lagi kes di Amerika Syarikat (AS) ekoran dakwaan penyalahgunaan data pengguna, lapor Bloomberg semalam.

Laporan memetik sumber terdekat itu berkata, kini Peguam Negara Pennsylvania, Josh Shapiro dan rakan sejawatnya dari Illinois, Kwame Raoul menjalin bekerjasama dengan Connecticut untuk memberi tumpuan kepada siasatan dakwaan sedia ada.

Gergasi media sosial itu juga dikatakan disiasat New York, New Jersey dan Massachusetts dengan cuba mendedahkan sebarang pelanggaran yang tidak diketahui.

Pejabat Peguam Negara Illinois enggan mengulas lanjut perkara terbabit, manakala Pejabat Peguam Negara Pennsylvania dan Facebook gagal dihubungi untuk mendapatkan komen, lapor REUTERS.

Facebook dan gergasi teknologi lain berdepan tekanan sejak lebih setahun lalu selepas satu pendedahan bahawa syarikat perunding British Cambridge Analytical memperoleh data berjuta-juta pengguna AS untuk dijadikan sasaran iklan pilihan raya.

Susulan pendedahan itu, beberapa syarikat berteknologi tinggi terpaksa memberi keterangan di Kongres tahun lalu.


Pengarang :