NASIONAL

Fenomena Vorteks Kutub, semua pelajar Malaysia di Midwest disah selamat

PUTRAJAYA, 1 FEB: Education Malaysia Chicago mengesahkan semua pelajar Malaysia di sekitar Midwest, Amerika Syarikat selamat berikutan keadaan cuaca sejuk melampau yang jarang berlaku di wilayah terbabit, dikenali sebagai fenomena Vorteks Kutub.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, Education Malaysia Chicago akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan menasihatkan pelajar supaya sentiasa berada di kawasan selamat dan tertutup sepanjang tempoh cuaca sejuk melampau itu.

KPM berkata, fenomena Vorteks Kutub membawa angin sejuk melampau menyebabkan suhu menurun sehingga -53 darjah Celsius dan berpotensi mengancam keselamatan dan nyawa.

“Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang terkena reput fros jika terdedah di tempat terbuka selama 10 minit.

“Education Malaysia Chicago akan terus memantau kebajikan dan keselamatan pelajar Malaysia di sekitar Midwest melalui persatuan pelajar Malaysia di universiti dan institusi berkenaan, khususnya sepanjang tempoh keadaan cuaca sejuk melampau terbabit.

“Pihak berkuasa di Illinois telah mengeluarkan perintah darurat bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

KPM berkata, kebanyakan syarikat dan premis perniagaan mengarahkan pekerja mereka bekerja dari rumah, selain banyak sekolah dan institusi pendidikan ditutup.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :