SELANGOR

Fokus pelan pembangunan Ampang, Kajang dan Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 15 FEB: Kerajaan Negeri akan memfokuskan pelan pembangunan yang lebih inklusif di daerah Hulu Langat khususnya Ampang, Kajang dan Semenyih yang kini semakin pesat membangun.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan meneliti secara menyeluruh berkenaan rancangan itu.

“Kawasan itu semakin pesat dan rancak membangun, justeru kami akan meneliti perkara penting untuk memastikan keseimbangan dibuat.

“Ia juga bagi memastikan kemudahan atau masalah infrastruktur dapat ditangani dengan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, di sini.

Pada masa sama, katanya, isu berbangkit berkaitan kutipan hasil dan setempat akan turut ditangani dari masa ke masa.

Terdahulu, ahli MMKN mengadakan mesyuarat sempena program Jelajah Maju Bersama.

Jelajah Maju Bersama adalah pendekatan Amirudin yang menjadi mata dan telinga, sekali gus mencari penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat, di Selangor.

 


Pengarang :