NASIONAL

FORSEA pelawa orang ramai jaya Festival Demokrasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Angkatan Pembaharuan Asia Tenggara (FORSEA) mempelawa orang ramai di sekitar Lembah Klang hadir menggamatkan Festival Demokrasi yang bakal berlangsung di MAP Publika, pada 13 hingga 17 Februari ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Hishamuddin Rais berkata, festival julung kali diadakan di rantau ini bagi meraikan proses demokrasi pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kami membawakan delegasi tersohor dari 11 negara Asia Tenggara termasuk Profesor Amerika Syarikat, Noam Chomsky, yang akan berkongsi pandangan berkaitan isu politik Asia Tenggara.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan berkongsi pentas sama bagi menyampaikan ucap utama acara, manakala Dato’ Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari akan menyampaikan ucapan alu-aluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran ARCA Pembebasan Suara Demokrasi, di The Square Publika di sini, semalam.

Turut hadir, Amirudin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADN Balakong, Wong Siew Ki.

Sebagai gimik perasmian festival berkenaan, Amirudin turut melepaskan burung merpati dan memegang plakad yang berlatarbelakangkan ARCA Pembebasan itu.

Hishamuddin yang juga aktivis politik berkata, kegiatan itu juga membabitkan pameran, festival kesenian dan festival penentangan dengan menampilkan seniman serta artis dari negara Asia Tenggara.

“Persidangan ini antaranya akan membicarakan pengalaman serantau, termasuk isu Rohingya, pengalaman pertukaran rejim secara berdarah Indonesia pada 1965 dan pengalaman Kemboja di era Pol Pot,” katanya.

 

 


Pengarang :