NASIONAL

Gabungan RTM, BNC dalam perancangan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Cadangan untuk menggabungkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama News Channel (BNC) masih di peringkat kajian dan ia belum dimuktamadkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan dan pihaknya masih meneliti isu berkenaan buat masa sekarang.

“Kita sedang meneliti beberapa perkara lain dalam RTM dan Bernama sekali gus pertimbangan serta keputusan akan dilakukan selepas penelitian ini selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Menteri bersama Media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Hotel Sheraton Imperial di sini, semalam.

Terdahulu, Gobind berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menjalankan kajian terperinci berkenaan cadangan menggabungkan RTM dan BNC.

Manakala, katanya, anggota yang dilantik bagi menguruskan jawatankuasa berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Sementara itu, RTM dan BNC pula diminta mengemukakan kertas cadangan dan kertas kerja masing-masing berkenaan cadangan penggabungan kedua-dua entiti itu.

 


Pengarang :