NASIONAL

Garap lebih peluang tangani ekonomi lembap

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 12 FEB: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali optimis menggarap lebih banyak peluang pelaburan ketika menghadapi cabaran ekonomi seluruh dunia, ketika ini.

Katanya, Malaysia juga perlu mencari kekuatan untuk menanganinya ketika perang dagangan China dan Amerika Syarikat yang terus memuncak, sehingga kini.

“Jika kita dapat mencari kekuatan, saya percaya kita boleh menghadapinya dengan lebih baik,” katanya pada Majlis Sesi Ramah Mesra sempena Sambutan Tahun Baharu Cina, di Sunway Resort dan Spa, di sini.

Hadir sama, Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Dato’ Lim Hock San dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian.

Beliau berkata, isu ‘governans’ turut menjadi keutamaan kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi.

Katanya, strategi dan inisiatif untuk memperkukuh tadbir urus akan mengembalikan semula kredibiliti serta keyakinan masyarakat pelabur terhadap prospek ekonomi negara.

“Kita menghargai dukungan diberikan rakyat terhadap pentadbiran hari ni, namun kita juga harus mempunyai sikap realistik dan menyelesaikan masalah ekonomi negara mengikut urutan keutamaan.

“Hanya dengan menyelesaikan masalah ‘governans’ kita dapat meletakkan ekonomi Malaysia di atas landasan pertumbuhan yang mampan untuk tahun akan datang.

“Justeru, pentadbiran hari ini memperkenalkan reformasi tadbir urus yang menyeluruh dalam perkhidmatan awam memandangkan terdapat banyak isu rasuah, kurang ketelusan dan akauntabiliti yang menghakis keyakinan rakyat serta masyarakat pelabur,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut menyeru pihak swasta untuk terus memainkan peranan sebagai pendorong kepada pertumbuhan ekonomi.

“Tugas kerajaan selain daripada menyediakan prasarana adalah memastikan bahawa taraf kehidupan isi rumah B40 terus meningkat dan mereka diberdayakan untuk berhijrah ke masyarakat kelas menengah.

“Ini bermakna, kumpulan ini akan turut menikmati kesejahteraan dengan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.


Pengarang :