SUKANKINI

Gol Safiq hampakan Red Ants

SHAH ALAM, 10 FEB: PKNS FC mengalami kekalahan pertama dalam Liga Super musim ini apabila tunduk 0-1 kepada Melaka United, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam di sini, The Red Ants dikecewakan dengan gol tunggal bekas ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 melepasi Zarif Irfan.

Ia diperoleh Melaka United selepas Patrick Reichelt dikasari pertahanan tuan rumah, Rodney Celvin Akwensivie dalam kawasan penalti.

Gol terhasil itu mengubah rentak permainan menjadi lebih rancak dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan dengan lebih kerap ke kubu lawan.

Melaka United nyaris menambah jaringan pada minit ke-30 tetapi gerakan diatur R Gopinathan itu gagal disudahkan dengan sempurna oleh barisan serangannya.

Pada separuh masa kedua, skuad bimbingan Datuk K Rajagopal cuba bangkit daripada ketinggalan dengan serangan dilakukan Gabriel Guerra namun beberapa percubaannya dipatahkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Keputusan kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Melaka United mencatat kemenangan kedua di mana sebelumnya menewaskan Petaling Jaya City FC 2-1 manakala PKNS FC seri dengan Terengganu 1-1 pada perlawanan pertama.

FOTO: PKNS FC

 

 


Pengarang :