NASIONALSUKANKINI

Hafizh pamer peningkatan pada sesi ujian pra-musim pertama

SEPANG, 9 FEB: Selepas bergelut dengan jentera baharu pada dua hari pertama ujian pra-musim MotoGP, pelumba tunggal Malaysia dalam kejuaraan itu, Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya boleh menarik nafas lega dengan catatan masanya pada hari terakhir sesi itu, semalam.

Beliau mengakui terpaksa mengubah gaya tunggangannya selepas gagal menyesuaikan diri dengan jentera ​​​​​​​KTM pada hari pertama sesi ujian berkenaan di Litar Antarabangsa Sepang, pada Rabu.

“Banyak peningkatan dilakukan kita berbanding semalam (Jumaat). Masa sepusingan juga lebih baik daripada sebelum ini, namun masih agak jauh daripada pelumba di hadapan. Pada hari terakhir, saya cukup selesa dengan jentera ini tetapi keadaan fizikal saya belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan motosikal ini.

“Selepas seharian menunggang, ​​​​​​​saya berasa kurang bertenaga. Secara jujurnya, saya agak kecewa dengan diri saya ini,” kata pelumba berusia 24 tahun itu ketika ditemui pemberita selepas menamatkan sesi ujian hari ketiga dan terakhir di Litar Sepang.

“Motosikal ini cukup hebat, tetapi saya tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya. Apa pun saya akan berusaha melakukan terbaik semasa ujian di Qatar sebelum perlumbaan pembuka tirai musim ini. Kita berada di kedudukan positif dan sudah pasti kita boleh melakukan lebih baik,” kata pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu.

Jaguh tempatan itu menggunakan tayar berbeza pada sesi ujian berkenaan dan menumpukan kepada pelbagai aspek pada jenteranya, semalam.

Beliau menamatkan keseluruhan 123 pusingan dalam sesi ujian berlangsung selama tiga hari itu dan pada sesi terakhir, Hafizh Syahrin mencatat masa terpantas dua minit 0.766 saat untuk berada di kedudukan ke-21.

Pada hari pertama, pelumba pasukan Red Bull KTM Tech 3 itu bergelut bagi mendapatkan rentak tunggangan apabila menduduki tempat tercorot dengan catatan 2:01.853s.

SUMBER: BERNAMA

FOTO: motogp.com


Pengarang :