Selangorkini
NASIONAL

Harga jalur lebar tidak dikurangkan tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 FEB: Harga jalur lebar tidak akan dikurangkan pada tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Katanya, langkah itu diambil selepas kementerian mencapai sasaran meningkatkan kelajuan jalur lebar sebanyak dua kali ganda manakala harga sudah dikurangkan kepada separuh.

“Sebelum ini, kita bercadang mahu meningkatkan kelajuan dua kali ganda dan harga dikurangkan namun keadaan berubah apabila syarikat telekomunikasi sendiri sudah menurunkan harga dengan ketara.

“Oleh itu, bagi saya sasaran mahu meningkatkan kelajuan itu sudah pun tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM) di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, awal tahun ini Malaysia berjaya memenuhi sasaran penurunan harga jalur lebar sebanyak 25 peratus pada tahun lalu.

Katanya, kebanyakan syarikat telekomunikasi seperti Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd dan TIME dotCom Bhd menurunkan harga jalur lebar mereka sebanyak 30 peratus hingga 65 peratus.

Sementara itu, Gobind berkata, Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjadi satu-satunya syarikat mengusulkan cadangan untuk membina infrastruktur gentian optik.

“Hanya TNB mengusulkan cadangan itu. Pada dasarnya, ia adalah sebuah syarikat tempatan mempunyai infrastruktur sedia ada dan berfungsi di Malaysia.

“Jadi itu antara faktor kita mengkaji kemungkinan satu projek perintis di Jasin, baru-baru ini,” katanya.

Projek perintis TNB selama tiga bulan di Jasin itu dilaksanakan menerusi inisiatif Pelan Ketersambungan dan Fiberi Nasional yang diumumkan semasa Pembentangan Belanjawan 2019.


Pengarang :