NASIONAL

Hari Keselamatan Internet 2019 dilancarkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 13 FEB: CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan sambutan Hari Keselamatan Internet (SID) 2019 – Edisi Malaysia, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith itu diadakan di perkarangan pejabat KKMM.

Eddin berkata, sambutan SID kali ini bertemakan Kesejahteraan Siber dengan memfokuskan kepada kesihatan digital dan etiket digital.

“Mengikut kajian seramai 35 peratus pengguna remaja mengalami ketagihan internet dengan menggunakan masa enam ke tujuh jam sehari menggunakan internet.

“Ini satu perkara yang tidak sihat di mana ini mendorong kita menumpukan kepada kesihatan internet dan etiket internet itu sendiri,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran itu.

Eddin berkata, isu ketagihan dan penyalahgunaan internet memberi kesan kepada pelbagai masalah terhadap remaja seperti rabun penglihatan, masalah psikologi dan lain-lain.

Katanya, kegagalan mengawal isu ini akan memberi kesan kepada perkembangan modal insan di negara ini.

Pada sambutan kali ini, beberapa program diaturkan seperti kempen ‘MyDigitalH20’ (Health To Others) yang melambangkan keperluan internet dalam urusan kehidupan.

Selain kempen ‘MyDigitalH2O’, penyebaran mesej berkaitan kesihatan digital dan etiket digital turut dijalankan di rangkaian media sosial.


Pengarang :