NASIONAL

Hari Keselamatan Internet medium sebar kesedaran

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 14 FEB: Hari Keselamatan Internet (SID) 2019 menjadi salah satu landasan terbaik untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan keselamatan siber.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, sambutan SID memfokuskan usaha menjadikan pengguna internet sebagai individu bertanggungjawab dengan menggunakan internet dan aplikasinya secara positif.

Katanya, selain terdedah kepada insiden keselamatan siber, pengguna internet khasnya golongan remaja turut berisiko dengan isu kesihatan seperti tekanan jiwa dan rabun penglihatan.

“Di Malaysia, sambutan SID bermula pada 2010 dengan dipacu CyberSecurity Malaysia dan rakan strategik yang turut melestarikan agenda keselamatan internet di Malaysia.

“Pada tahun ini, tema sambutan SID 2019 bagi edisi Malaysia ialah ‘Kesejahteraan Siber’,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran SID 2019 – Edisi Malaysia di lobi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di sini, semalam.

Tahun lalu, CyberSecurity Malaysia menerima 10,699 insiden keselamatan siber yang dilaporkan pengguna internet ke pusat Cyber999.

Isu membabitkan penipuan mencatatkan laporan tertinggi dengan 5,123 insiden, diikuti cubaan pencerobohan (1,805), kod berbahaya (1,700), pencerobohan (1,160) dan gangguan siber (356).


Pengarang :