SELANGOR

Hasil pasir cecah RM90 juta setahun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 15 FEB: Hasil pasir Selangor mencecah sehingga RM90 juta setahun sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) memimpin Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kutipan hasil pasir pada 2006 hingga 2008 yang dicatatkan ketika pentadbiran lama hanya diantara RM3 hingga ke RM4 juta setahun.

“Namun, selepas pengambil alihan pada 2008, beberapa tahun kemudiannya PAKATAN berjaya mengandakan hasil pendapatan pasir hingga RM15 juta setahun.

“Bukan hanya menjadi negeri paling kaya dan maju dalam menjana pendapatan, namun hasil pertumbuhan ekonomi ini mampu dikembalikan kepada rakyat Selangor melalui program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian IPR dan geran tanah di Dewan Orang Ramai Pekan Semenyih, semalam.

Amirudin berkata, pertambahan hasil Kerajaan Negeri juga digunakan bagi membantu rakyat menangani permasalahan asas antaranya isu kesihatan, persekolahan dan perniagaan melalui pelaksanaan IPR.

“Kerajaan Negeri bukan hanya membantu golongan memerlukan, sebaliknya membantu masyarakat maju setapak dalam kehidupan mereka melalui Program HIJRAH yang dapat membantu peniaga,” katanya.

Pada majlis berkenan, seramai 11 penduduk Kampung Batu Tiga menerima geran tanah, Skim HIJRAH (26), bantuan ehsan bencana (6), Skim Mesra Usia Emas (9) dan Skim Peduli Sihat (3).

Penyerahan sumbangan itu diberikan sempena Program Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besari Selangor ke Daerah Hulu Langat yang bermula sejak pagi semalam.

 


Pengarang :