SELANGOR

Inovasi Smart Docket dipertandingkan di MTE 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Inovasi projek Smart Docket yang berimpak tinggi untuk mengatasi ketirisan hasil batuan Kerajaan Negeri dipertandingkan di Malaysia Technology Expo (MTE) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan dan Kemajuan Tanah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Syafianza Azwan Shaiful Bahari berkata, penyertaan kali pertama itu adalah aspirasi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang mahu mengoptimumkan pulangan hasil Kerajaan Negeri.

“Projek ini adalah aspirasi Dato’ SUK yang mahu PTGS menjalani reformasi melalui program inovasi sekali gus boleh menjana pendapatan lebih tinggi kepada kerajaan.

“Sebanyak 70 hingga 80 peratus hasil negeri adalah menerusi hasil tanah dan di PTGS, kita bertanggungjawab memastikan kerajaan boleh memaksimakan hasil melalui inovasi yang diperkenalkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian MTE 2019.

Syafianza Azwan berkata, berbeza dengan negeri lain, sistem itu dipantau secara ‘real time’, kamera litar tertutup (CCTV) dan aplikasi yang mengesahkan ketulenan dokumen.

“Ia diperbaharui berbanding secara manual sebelum ini selepas teguran audit pada 2014 yang menyatakan terdapat ketirisan berlaku melalui sumber bahan batuan.

“Oleh itu, PTGS membangunkan sistem ini bersama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB). Biarpun sistem ini ada digunakan di negeri lain namun kita lebih terperinci,” katanya.

Pada masa sama, katanya, selain cuba meraih pengiktirafan di expo itu, pihaknya turut mahu berkongsi sistem berkenaan dengan negeri lain.

“Kita juga mendapat maklum balas positif dari kementerian berkenaan sistem ini dan kita mahu berkongsi dengan negeri lain supaya ia menjadi tanda aras dalam mendapatkan pulangan lebih tinggi,” katanya.

MTE 2019 diadakan bermula hari ini hingga 23 Februari dengan lebih 500 penyertaan dipertandingkan disertai lebih 20 negara.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melancarkan sistem docket pada September tahun lalu.

Sistem itu mampu meningkatkan hasil pendapatan negeri, mengelakkan potensi kecurian dan penggalian serta perlombongan pasir melebihi had dibenarkan.

Sehingga 2017, Kerajaan Negeri memungut hasil tanah berjumlah RM387 Juta iaitu tertinggi berbanding tahun sebelumnya.


Pengarang :