BERITA UTAMASELANGOR

Inovasi Smart Docket raih Anugerah Emas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 FEB: Inovasi Smart Docket yang dipertandingkan di Malaysia Technology Expo (MTE) 2019, di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, melalui kategori Public Service Innovation Awards berjaya menggondol Anugerah Emas (Gold Award).

Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Dato’ Zulkefli Khalid berkata, pertama kali dipertandingkan, projek berimpak tinggi itu dilaksanakan untuk mengatasi ketirisan hasil batuan Kerajaan Selangor.

“Anugerah ini dicipta untuk mengiktiraf inovasi yang direka atau dilaksanakan dalam perkhidmatan awam, sekali gus menyediakan landasan bagi berkongsi dan mempamerkan pendekatan inovatif serta penyelesaian sektor awam juga menggalakkan amalan inovasi.

“Semoga pengiktirafan ini dapat memberi suntikan semangat kepada warga PTGS dalam menghasilkan idea lebih kreatif yang dapat memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap,” katanya kepada SelangorKini.

Smart Docket adalah projek inovasi untuk mengurangkan ketirisan hasil bantuan, yang dipantau secara ‘real time’, kamera litar tertutup (CCTV) dan aplikasi yang mengesahkan ketulenan dokumen.

Katanya, PTGS akan terus komited membudayakan inovasi terutama dalam pentadbirannya, seiring aspirasi ‘Maju Bersama’ Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, katanya, penyertaan dalam ekspo terbabit memberi peluang kepada seluruh warga kerja untuk meneroka bidang baharu yang boleh direplikasi, selain membina jaringan kerjasama antara agensi kerajaan mahupun swasta dari dalam dan luar negara.

“Terima kasih diucapkan kepada pentadbiran tertinggi kerajaan, khususnya Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohamad Amin Ahya yang sentiasa memberi sokongan padu dalam menyemarakkan elemen kreativiti serta inovasi yang menjadi kekuatan juga mendorong kestabilan ekonomi negeri,” katanya.

Sebanyak 26 inovasi Sektor Awam dipertandingkan dalam kategori itu dengan 10 inovasi mendapat Anugerah Emas, tujuh Anugerah Perak dan sembilan Anugerah Gangsa.

Antara kriteria penilaian adalah dari segi konsep, pembinaan aspirasi innovator, kesan atau impak serta nilai sesebuah inovasi.

 


Pengarang :