GLOBALNASIONAL

Israel lancar serangan udara di Semenanjung Gaza

GAZA, 28 FEB: Jet pejuang Israel melancarkan satu serangan udara, di selatan Semenanjung Gaza, pada awal Khamis, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan saksi.

Serangan udara itu dilaporkan terkena sasaran milik Briged Ezzedine al-Qassam, sayap tentera Hamas, di barat Khan Yunis.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, kata saksi.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Palestin belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ketegangan semakin memuncak berhampiran pagar Gaza-Israel susulan perhimpunan berterusan penunjuk perasaan yang menuntut hak untuk pulang ke tanah tumpah darah mereka, di bumi asal Palestin.

Perhimpunan itu bertujuan memecahkan kepungan Israel/Mesir ke atas Semenanjung Gaza sejak berdekad lamanya.

Lebih 230 penunjuk perasaan Palestin mati syahid ekoran ditembak tentera Israel sejak perhimpunan Gaza bermula, pada 30 Mac 2018.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :