GLOBAL

Istana halang hasrat Puteri Ubolratana bertanding

BANGKOK, 9 FEB: Sebuah parti politik di Thailand, Thai Raksa Chart, memaklumkan akan mematuhi perintah diraja yang menghalang pencalonan Puteri Ubolratana untuk jawatan perdana menteri.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, dengan keputusan dibuat itu maka parti terbabit membatalkan kempen pada hari ini dengan mengatakan ia menghormati ‘tradisi dan adat istiadat’.

“Parti Thai Raksa Chart mematuhi perintah diraja,” katanya, lapor AFP.

Kenyataan itu dilaporkan sehari selepas Thai Raksa Chart yang setia kepada mantan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, mengumumkan Puteri Ubolratana, 67, bakal mewakili parti itu untuk bertanding merebut kerusi jawatan terbabit dalam pilihan raya pada Mac depan.

Ia susulan halangan diraja dengan Raja Maha Vajiralongkorn menolak pencalonan dibuat parti politik itu dan hasrat beliau untuk aktif dalam politik.

Laporan dikeluarkan istana Thailand menyatakan, pembabitan ahli keluarga diraja dalam politik bertentangan dengan tradisi, kebudayaan kebangsaan dan ‘sangat tidak sesuai’.


Pengarang :