SELANGOR

Isu Jambatan Semenyih: Kerajaan Negeri nilai prestasi kontraktor, syarikat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kerajaan Negeri akan menilai prestasi syarikat dan kontraktor yang dipilih Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi proses pembinaan jambatan baharu menghubungkan Jalan Bangi Lama serta laluan Kuala Lumpur-Seremban, di Jalan Semenyih.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau sudah merujuk kepada JKR berhubung hal itu dan kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Saya dah rujuk kepada JKR dan mereka akan keluarkan kenyataan segera. Ini bukan sebab Pilihan Raya Kecil Semenyih, tetapi ingin melihat apakah proses pembinaan.

“Saya pasti projek itu ada pelbagai isu dan perlu dikenal pasti terlebih dahulu. Salah satu isunya mungkin kontraktor yang dipilih tidak menjalankan tugas atau sebagainya dan mungkin isu kewangan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Festival Demokrasi, di The Square Publika, di sini, hari ini.

Terdahulu, Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kegagalan menyiapkan projek pembinaan jambatan Semenyih yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional.

Untuk rekod, projek pembinaan terbabit diumumkan kerajaan sebelum ini pada 24 Mac tahun lalu dan ia sepatutnya dijangka siap Jun tahun ini, tetapi tidak diteruskan.

Amirudin berkata, apabila berlaku pertukaran, perkara itu seharusnya ditimba balik demi menjamin pentadbiran yang cekap dan berkesan.

“Biasanya kalau kontrak dilepaskan masa selepas kontrak diluluskan kita minta ia disambung dan saya mahu melihat prestasi syarikat atau kontraktor ketika JKR mengambil kontrak.

“Mungkin mereka kurang berkesan atau sebagainya dan kita perlu ambil apabila pertukaran berlaku kita juga perlu uruskan balik,” katanya

 


Pengarang :