NASIONAL

Isu RM90 juta: SPRM akan panggil beberapa individu

KUALA LUMPUR 6 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS.

BERNAMA melalui sumbernya berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah dibuka susulan SPRM menerima laporan daripada polis berhubung isu berkenaan, pada petang semalam.

“Beberapa individu termasuk yang berkaitan dalam isu ini akan dipanggil SPRM dan kami meminta semua pihak bersabar serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes berkenaan,” katanya.

Sumber itu juga berkata, siasatan akan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, artikel yang dilapor oleh Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong UMNO dan Barisan Nasional.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :