JAKIM sedia bantu KKM perluas perkhidmatan kesihatan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

JAKIM sedia bantu KKM perluas perkhidmatan kesihatan

PUTRAJAYA, 20 FEB: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersedia menjadi pemudah cara kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperluaskan program perkhidmatan kesihatan kepada sekolah agama berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, program itu memberi manfaat kepada 83,252 murid di 92 Sekolah Agama Negeri dan 135 Sekolah Agama Rakyat di seluruh negara.

“Mereka bakal menerima perkhidmatan pendidikan kesihatan, imunisasi, pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan sekiranya diperlukan mengikut tahap umur persekolahan seperti yang diterima murid di sekolah yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.


“Ini adalah suatu perkhidmatan yang cukup berharga bagi murid-murid sekolah agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, KKM membentangkan cadangan pelaksanaan program itu pada Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/ Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia (PKJ) kali ke-108 yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, semalam.

Mohamad Nordin berkata, antara objektif program itu adalah untuk memastikan sekolah berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri diklasifikasikan sebagai sekolah berjadual.

Ia bagi membolehkan sekolah tersebut mendapat perkhidmatan kesihatan sekolah tanpa dikenakan caj fi.

Katanya, buat masa ini belum ada badan khusus yang menyelaras dan mengurus penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk murid di sekolah agama sekali gus menimbulkan kesukaran kepada KKM untuk mengenal pasti sekolah agama yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Mohamad Nordin berkata, sebuah Jawatankuasa Bersama Kesihatan di peringkat kebangsaan dan negeri perlu ditubuhkan bagi membincangkan dengan teliti peranan pelbagai pihak yang terlibat.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next