SELANGOR

Jangan jadikan kematian bahan kempen murahan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Datuk Mohamed Satim Diman diingatkan supaya berkempen menggunakan akal waras dengan tidak menjadikan kematian orang lain sebagai bahan kempen murahan lagi menjijikkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, beliau kesal dan sedih atas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Puchong itu, apabila mengaitkan kematian empat ADN Selangor sebagai amaran daripada tuhan supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

“Kematian mereka sudah suratan takdir dan mengaitkannya sebagai tanda untuk mencari pengganti yang lebih baik pasti melukakan perasaan ahli keluarga dan penyokong.

“Mereka yang pergi sudah berjuang dalam bidang politik dengan mengorbankan masa bersama keluarga dan selepas pemergian mereka pastinya ahli keluarga lebih merasai kesakitan itu,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mendesak mantan ADN Seri Serdang itu supaya memohon maaf kepada semua ahli keluarga wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) itu dan menjaga sensitiviti keluarga mereka.

“Sebagai (individu) yang mengenali Allahyarham Shuhaimi Shafiei yang meninggal kerana kanser, saya juga terasa kehilangan dan kesedihan itu masih ada lagi.

“Begitu juga dengan pemergian Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang menyebabkan saya mengganti tempatnya di Seri Setia, manakala Eddy Ng meninggal akibat kemalangan jalan raya dan Bakhtiar (Mohd Nor) meninggal dunia ekoran serangan jantung.

“Pemergian mereka semua bukan dirancang supaya ada penganti yang lebih baik,” katanya.

Tredahulu, Mohamed Satim dilaporkan sebagai berkata, semua pilihan raya kecil di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Semenyih membabitkan kematian wakil rakyat daripada PAKATAN, bukan daripada Barisan Nasional.

Beliau didakwa berkata, Allah memberi amaran sejak (PRK) Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

PRK DUN Semenyih yang bakal diadakan pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

 


Pengarang :