NASIONAL

Jangan terpengaruh propaganda UMNO

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 28 FEB: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu semua pihak supaya tidak terpengaruh dengan propaganda meraih simpati yang dibuat UMNO.

Katanya, hal itu kerana tindakan terbabit dilihat sengaja digunakan untuk menakutkan pengundi, di Semenyih khususnya.

“Jangan terpengaruh dengan mereka. Bossku (Najib) datang naik teksi, bawa motosikal dan basikal. Jangan lupa dulu dia naik ‘private’ jet.

“Jangan terpengaruh apa yang kita lihat. Jangan lupa semua masalah negara dari dia kita yang tanggung.

“Mahu takutkan orang Melayu sebab di Semenyih ada 68 peratus Melayu, mereka kerjasama dengan PAS, cakap jangan undi Pakatan Harapan (PAKATAN) nanti DAP yang ‘control’,” katanya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau berkata demikian pada ceramah Rapat Rakyat, di Pusat Daerah Mengundi, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, kenyataan berbaur hasutan bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan mengendalikan Tabung Haji dan menyebabkan hilang subsidi menunaikan haji tidak benar.

Katanya, kerajaan tidak akan sesekali mengkhianati umat Islam yang mahu menunaikan haji setiap tahun.

“Jangan lupa, Tabung Haji hilang RM4 bilion, itu siapa punya kerja? Pemimpin UMNO. Kenapa curi duit tapi salahkan PAKATAN?

“Begitu juga dengan FELDA. Siapa yang curi? Pemimpin UMNO…tadi selama lima jam saya bermesyuarat bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu FELDA ini,” katanya.


Pengarang :