NASIONAL

Jelajah Rahmah santuni gelandangan

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kerajaan akan melaksanakan program Jelajah Rahmah secara berperingkat bermula tahun ini, dalam usaha menyantuni dan membantu komuniti gelandangan serta mereka yang terjebak dengan gejala sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, program itu akan membabitkan masjid, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat.

“Selain memberi bantuan seperti makanan, golongan ini akan dibantu dengan pelbagai pengisian agama dan khidmat kaunseling supaya mereka dapat kembali berdikari serta hidup seperti orang lain.

“Pendekatan ini berbeza, bukan diadakan di dalam masjid seperti lazimnya tetapi kita keluar dengan menyantuni mereka di tempat umum dalam satu-satu program,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Rahmah yang pertama kali dianjurkan di Anjung Singgah, di sini, semalam.

Sebelum itu, Mujahid bersama-sama menyertai sukarelawan daripada Yayasan Kebajikan Negara dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mengedarkan bantuan makanan kepada kira-kira 200 gelandangan.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :