BERITA UTAMASELANGOR

Jimat RM990 juta hasil tender terbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 28 FEB: Sejumlah RM990 juta berjaya dijimatkan selepas pelaksanaan sistem tender terbuka oleh Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM68 juta dijimatkan, pada tahun lalu.

“Sejak lapan tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksanakan sistem tender terbuka, berbanding kerajaan sebelum ini yang mengamalkan pemberian tender secara terus kepada kontraktor dengan harga tidak sepadan.

“Akhirnya, pelaksanaan itu membuahkan hasil dan kita berjaya menjimatkan RM990 juta serta salurkan kepada rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR),” katanya pada ceramah Rapat Rakyat, di Pusat Daerah Mengundi Semenyih, di sini.

Katanya, lebih RM3 bilion sudah dibelanjakan untuk program IPR melalui pentadbiran cekap, tidak mengamalkan rasuah dan menjalankan urus tadbir baik.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan tidak terburu-buru melaksanakan program yang dijanjikan, sebaliknya melancarkan Pelan Anti-rasuah Nasional yang menggariskan syarat kepada ahli politik supaya berintegriti.

“Sudah tentu disebabkan perkara ini nanti, kita akan berjaya melaksanakan program terbaik bagi memastikan rakyat terbela dan dijaga dengan baik,” katanya.


Pengarang :