SELANGOR

Jom meriahkan Hari Tanpa Kederaan MDHS Sabtu ini

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU SELANGOR, 21 FEB: Orang ramai dijemput memeriahkan Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Sabtu ini.

MDHS dalam kenyataan memaklumkan, program bertempat di tapak pasar malam, Jalan Orkid Bukit Sentosa itu dijadualkan berlangsung mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

MDHS turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya canting batik, berbasikal, menunggang beca dan larian santai sejauh satu kilometer (km)

Seramai 500 pengunjung terawal turut berpeluang menerima hadiah misteri manakala 500 kanak-kanak pula akan menerima ang pow sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, MDHS turut membuka kaunter kitar semula pada program itu dan pengunjung yang hadir turut berpeluang mendapatkan hadiah misteri selain menebus barangan kitar semula.

“Jumlah minimum barangan kitar semula yang mahu ditebus merangkumi 20 naskah surat khabar, 30 tin susu atau sardin, 25 botol plastik 500 mililiter (ml), 15 botol plastik 1.5 liter, 10 kotak tetra-pack 1 liter, 15 kotak tetra-pack 200 ml ke atas dan 20 tin aluminium.

“Setiap bahan yang dibawa perlu dalam keadaan bersih dan tiada sisa air atau makanan, bagi botol plastik dan tin aluminium perlu dikemekkan, manakala kotak minuman perlu diratakan,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melawat kaunter pameran perkhidmatan daripada agensi kerajaan dan swasta.


Pengarang :