SELANGOR

Jom meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MBSA Ahad ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjemput orang ramai memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, pada 10 Februari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu adalah inisiatif MBSA ke arah mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya penyebab pencemaran alam.

“Pada program kali ini, akan diadakan pelepasan peserta aktiviti riadah seperti acara berbasikal, acara berjalan kaki, senamrobik, senaman taichi, persembahan pentas oleh kombo MBSA, dan pemeriksaan kesihatan percuma.

“MBSA turut mengadakan program bual santai Jom Picnic Dhuha bertajuk ‘Sembang Santai Penghijrahan’ bersama Mel Wings dan Amira Ann Lee serta Program Eco Free Market iaitu pemberian barangan terpakai secara percuma kepada yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi menarik penyertaan orang ramai, MBSA juga menyediakan permainan wall climbing, senaman Taichi, Mobile Library, Shah Alam On Wheels, Food Truck, chu chu train, Klinik Frisbee, Hydro Gel Games, Futsal On 3, Fruit Eating Challenge, cabutan bertuah, jualan pokok serta baja kompos.

Selain itu, katanya, MBSA turut mengadakan Pertandingan Pakaian Beragam Terbaik melibatkan dua kategori iaitu Kategori Keluarga dan Individu.

Pada masa sama, Shahrin turut meminta kerjasama orang ramai dan pemilik bangunan di sekitar pusat bandar mengambil maklum berkenaan jalan raya yang akan ditutup sepanjang program berlangsung.

“Antara jalan terbabit adalah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai, pada 10 Februari ini bermula jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi.


Pengarang :