KULIM, 3 Nov — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail membuat tinjauan harga barangan selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 Peringkat Kebangsaan di Pasar Awam Kulim hari ini. Skim kawalan harga bermula dari 3 November hingga 9 November 2018. Sebanyak 16 jenis barangan antaranya ayam,telur, sayuran seperti tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, barangan kering seperti bawang merah kecil, bawang besar import, ubi kentang import dan kacang dal, dan daging kambing berada dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kawalan harga: Tahap pematuhan peniaga sangat tinggi

GEORGE TOWN, 8 FEB: Tahap pematuhan peraturan oleh peniaga sepanjang tempoh penguatkuasaan skim kawalan harga sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2019 di seluruh negara adalah sangat tinggi dan semakin baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada 26,457 premis diperiksa sejak skim itu bermula 31 Jan lepas sehingga semalam, hanya 241 pelanggaran peraturan oleh peniaga dilaporkan.

Beliau berkata, kesalahan paling banyak direkodkan adalah kegagalan peniaga meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu sebanyak 166 kes, diikuti 73 kes tidak meletakkan tanda harga langsung dan dua kes menjual barang kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan.

“Kebanyakan kes ini berlaku di premis runcit. Jumlah nilai rampasan sebanyak RM28,500 dan jumlah kompaun dikenakan sebanyak RM27,300. Di seluruh negara, kementerian menerima sembilan aduan sahaja sehingga semalam,” katanya semasa ditemui selepas meninjau Pasar Bayan Baru, lapor BERNAMA.

Berikutan itu, Saifuddin Nasution yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, kementeriannya sedang meneliti cadangan melanjutkan tempoh pelaksanaan skim kawalan harga pada musim perayaan akan datang.

Saifuddin berkata, buat masa ini kementeriannya menetapkan tempoh pelaksanaan skim kawalan harga untuk Tahun Baharu Cina selama 10 hari, Aidilfitri 15 hari dan Deepavali selama tujuh hari.

“Apakah sekarang kita perlu memanjangkan tempoh. Itu perkara yang kementerian akan memberikan tumpuan khusus sebelum kita menetapkan tempoh kawalan pada musim-musim perayaan akan datang,” katanya.

Menurutnya, kepentingan peniaga dan pengguna akan diambil kira sebelum kementerian memberi sebarang kata putus berhubung pemanjangan tempoh skim kawalan harga itu.

-BERNAMA


Pengarang :