NASIONAL

KBS kenal pasti IKBN untuk dinaik taraf

PEKAN, 18 FEB: Kementerian Belia dan Sukan sedang mengenal pasti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang boleh dinaik taraf dengan menawarkan program peringkat diploma sebagai persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, terdapat 22 IKBN di seluruh negara ketika ini dan ada antaranya sudah dikenal pasti untuk dinaik taraf sebagai Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dalam usaha meningkatkan gaji permulaan graduan.

“Ketika ini, kebanyakan gaji permulaan untuk lepasan IKBN adalah antara RM1,400 hingga RM1,600. Jika (IKBN) dinaik taraf kepada IKTBN, mereka (graduan) boleh memperoleh antara RM1,800 atau RM1,900 sebagai (gaji) permulaan.

“Oleh itu, KBS sedang berusaha menaik taraf IKBN yang ada kepada IKTBN, namun sebelum menaik taraf, kita kena pastikan terlebih dahulu kelengkapan dan kemudahan yang ada di IKBN ditingkatkan,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pembaikan Struktur Pesawat IKBN Pekan, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Datuk Wasitah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Shamsuhaime Nasir.

Katanya, IKBN Pekan antara institusi kemahiran yang sedang dipertimbangkan untuk dinaik taraf sebagai IKTBN ekoran penawaran kursus berimpak tinggi dan mempunyai peluang pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif.

“Kursus pembaikan (struktur) pesawat di IKBN Pekan adalah sangat signifikan dengan kebolehan Malaysia meletakkan bidang aeroangkasa sebagai antara industri strategik.

–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Selain itu, bidang minyak dan gas menawarkan pendapatan lumayan, maknanya semua ada di sini (IKBN Pekan) jadi mungkin boleh dinaik taraf kepada IKTBN selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, siswazah IKBN dan IKTBN diminta bersedia menghadapi tekanan dan keperluan IR 4.0.

“IR 4.0 bakal dipenuhi generasi muda dengan pelbagai kemahiran baharu selaras perubahan teknologi digital. Mahu atau tidak, mereka perlu meningkatkan kemahiran diri sejajar kehendak semasa.

“Jadi, saya melihat kepentingan IKBN dan IKTBN dilengkapi segala keperluan dan bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan pelajar mahir dalam pelbagai bidang termasuk automasi, robotik, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan internet untuk segala-galanya (IoT),” katanya.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :